Halaman

Jumat, 23 Desember 2011

Ilmu Hadits / Takhrij dan ulasan khabar: “Sesiapa yang kenal dirinya, maka dia kenal Tuhannya” bag II

Secara kesimpulan, para ulama hadis mengatakan bahawa ianya bukan hadis Nabi SAW. Maka, ia adalah sama ada kata-kata Sayyiduna ‘Ali bin Abi Talib RA, Yahya bin Mu‘az al-Razi, Sahl bin ‘Abdullah al-Tustari, ataupun Abu Sa‘id Ahmad bin ‘Isa al-Kharraz. Meskipun ramai ulama hadis yang menyatakan bahawa ia adalah kata-kata Yahya bin Mu‘az al-Razi. Namun, kata-kata yang penulis temukan sanadnya ialah kata-kata Sahl bin ‘Abdullah al-Tustari sahaja. Manakala bakinya, belum dapat dipastikan sumbernya yang asal. Mohon diberikan petunjuk...


ii. Maksudnya

Oleh kerana kata-kata ini mengandungi makna yang sahih, maka ianya telah menjadi popular di kalangan ulama tarbiah dan suluk. Allah SWT telah berfirman:

{وَفِي أَنْفُسِكُمْ أَفَلاَ تُبْصِرُونَ} [الذاريات:21]
Terjemahan: “Dan pada diri kamu sekalian, tidakkah kamu perhatikan?”
 Menurut Imam al-Suyuti dalam (القول الأشبه في حديث من عرف نفسه فقد عرف ربه): “Kata al-Nawawi di dalam Fatawanya: Maknanya; sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat daif, berhajat kepada Allah dan pengabdian kepada-Nya, dia akan kenal Tuhannya dengan sifat kuat, ketuhanan, kesempurnaan yang mutlak dan sifat-sifat yang tinggi. Kata Syeikh Tajuddin Ibn ‘Ata’illah dalam Lata’if al-Minan: Aku mendengar guru kami Abu al-‘Abbas al-Mursi berkata: Pada hadis ini terdapat dua takwilan; Pertamanya, iaitu sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat hina, lemah dan fakir, dia akan kenal Allah dengan sifat megah, berkuasa dan kaya. Maka, yang awalnya mengenal diri, kemudian sesudahnya mengenal Allah pula. Keduanya, sesiapa yang mengenal dirinya, maka ia menunjukkan bahawa dia telah mengenal Allah sebelumnya. Maka, yang pertama adalah hal golongan salik (pejalan rohani), dan yang kedua pula adalah hal
 golonganmajzub (penerima tarikan rohani)”.

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam (المقاصد الحسنة في بيان كثير من الأحاديث المشتهرة على الألسنة) no. 1149: “Dikatakan tentang takwilnya; Sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat baharu, dia akan kenal Tuhannya dengan sifat qidam. Dan sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat fana’, dia akan kenal Tuhannya dengan sifat baqa’”.

Kata al-‘Allamah al-Mulla ‘Ali al-Qari (w. 1014H) dalam (الأسرار المرفوعة في الأخبار الموضوعة) no. 506: “Maknanya adalah sabit.  Ada  dikatakan, sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat jahil, maka dia akan kenal Tuhannya dengan sifat ilmu. Dan sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat fana’, maka dia akan kenal Tuhannya dengan sifat baqa’. Dan sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat lemah dan daif, maka dia akan kenal Tuhannya dengan sifat kudrat dan kuat. Ini diambil daripada firman Allah Taala:

{ ومَن يرغب عن ملّة إبراهيم إلاّ مَن سفه نفسه }
Terjemahan: “Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri” (al-Baqarah: 130), yakni tidak mengenal dirinya, di mana dia juga tidak mengenal Tuhannya”.
 Wallahu a‘lam. -original message- Subject: [INSISTS] Takhrij dan ulasan khabar: “Sesiapa yang kenal dirinya, maka dia kenal Tuhannya” From: Nugroho Laison Date: 23/12/2011 8:48 am
http://sawanih.blogspot.com/2011/12/takhrij-dan-ulasan-khabar-sesiapa-yang.html

Tidak ada komentar:

Posting Komentar