Halaman

Jumat, 23 Desember 2011

Ilmu Hadits / Takhrij dan ulasan khabar: “Sesiapa yang kenal dirinya, maka dia kenal Tuhannya”

Editor: Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta'ala - Date: 19.12.11  

Teks khabar:
مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ
Perbincangan khabar ini akan disentuh dari dua sudut; Pertama, tentang kedudukan asalnya. Kedua, tentang maksudnya.

i. Kedudukan Asalnya Dalam berbagai sumber, kata-kata ini telah disandarkan kepada:

1- Baginda Nabi SAW. Banyak kitab-kitab tasawuf yang menyandarkan kata-kata ini kepada baginda SAW. Antaranya Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam kitab (كيمياء السعادة). Al-Syeikh al-Akbar Ibn ‘Arabi menyatakan bahawa ianya sahih dari baginda SAW secara kasyaf.


2- Sayyiduna ‘Ali bin Abi Talib RA. Ini disebut oleh Abu Bakr Rasyid al-Din Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd al-Jalil al-‘Umari yang masyhur dengan panggilan al-Watwat (w. 573@ 578H) dalam kitabnya (مطلوب كل طالب من كلام علي بن أبي طالب). Kitab ini masih berbentuk manuskrip, seperti yang dinukilkan dalam kitab (سيرة أمير المؤمنين علي بن أبي طالب - رضي الله عنه) oleh ‘Ali Muhammad Muhammad al-Salabi (2005).

3- Yahya bin Mu‘az al-Razi (w. 258H). Ramai ulama hadis seperti al-Hafiz al-Sam‘ani, al-Hafiz al-Sakhawi, al-Hafiz al-Suyuti, al-‘Allamah al-Haytami dan lain-lain yang menyebut bahawa kata-kata ini adalah masyhur dari beliau.

4- Sahl bin ‘Abdullah al-Tustari (w. 283H). Al-Hafiz Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H) meriwayatkan dalam kitabnya (حلية الأولياء وطبقات الأصفياء) dengan sanadnya:
سمعت محمد بن الحسين بن موسى يقول: سمعت أبا بكر محمد بن عبدالله ابن شاذان يقول: سمعت بن سالم يقول: وسئل سهل بن عبدالله عن قوله: من عرف نفسه فقد عرف ربه، قال:من عرف نفسه لربه عرف ربه لنفسه. * Zahirnya, imbuhan ‘nya’ pada lafaz (عن قوله) merujuk kepada diri beliau, bukan kepada baginda Nabi SAW.

5- Abu Sa‘id Ahmad bin ‘Isa al-Kharraz (w. 279@ 286H). Ini disebut oleh setengah ulama, seperti yang dinukilkan dalam kitab (أسنى المطالب في أحاديث مختلفة المراتب) oleh Syeikh Muhammad bin Darwisy al-Hut (no. 1435). Namun, lafaznya seperti yang diriwayatkan oleh Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami dengan sanadnya dalam Tabaqat al-Sufiyyah ialah:
ومن لم يعرف ما فى نفسه، كيف يعرفُ رَبَّه؟
Terjemahan: “Dan sesiapa yang tidak kenal apa yang ada pada dirinya, bagaimana pula dia dapat kenal Tuhannya?”

Kata Imam al-Zarkasyi (w. 794H) dalam (التذكرة في الأحاديث المشتهرة): “Menurut al-Nawawi: Tidak sabit. Kata Imam Abu al-Muzaffar Ibn al-Sam‘ani dalam (القواطع في الكلام على التحسين والتقبيح العقلي): Ini tidak sabit dari Nabi SAW, akan tetapi ia adalah suatu lafaz yang dihikayatkan dari Yahya bin Mu‘az al-Razi”.

Demikian juga pandangan al-Hafiz al-Sakhawi dalam (المقاصد الحسنة في بيان كثير من الأحاديث المشتهرة على الألسنة) no. 1149, dan al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haytami dalam (الفتاوى الحديثية).
 Menurut Imam al-Suyuti (w. 911H) dalam (القول الأشبه في حديث من عرف نفسه فقد عرف ربه): “Hadis ini tidak sahih. Al-Nawawi pernah ditanya mengenainya di dalam kitab Fatawanya, maka jawab beliau: Ianya tidak sabit. Kata Ibn Taymiyyah: Mawdu‘. Menurut al-Zarkasyi dalam (التذكرة في الأحاديث المشتهرة): Ibn al-Sam‘ani menyebut bahawa ia adalah daripada kata-kata Yahya bin Mu‘az al-Razi”.

Syeikh Isma‘il bin Muhammad al-‘Ajluni (w. 1162H) di dalam (كشف الخفاء ومزيل الالباس عما اشتهر من الاحاديث على ألسنة الناس) no. 2532 menambah: “Kata Ibn al-Ghars (w. ?) selepas menukilkan dari al-Nawawi bahawa ianya tidak sabit, katanya: Tetapi kitab-kitab sufi dipenuhi dengannya. Mereka membawakannya dalam nada hadis, seperti Syeikh Muhyiddin Ibn ‘Arabi dan lain-lain. Katanya lagi: Guru kami Syeikh Hijjazi al-Wa‘iz (w. 1035H), pensyarah al-Jami‘ al-Saghir oleh al-Suyuti, menyebutkan kepada kami bahawa Syeikh Muhyiddin Ibn ‘Arabi itu tergolong dari kalangan para huffaz. Setengah ulama menyebut bahawa Syeikh Muhyiddin berkata: Hadis ini meskipun tidak sahih melalui jalan riwayat, namun ia sahih di sisi kami melalui jalan kasyaf. Al-Hafiz al-Suyuti mempunyai sebuah karya kecil mengenainya yang dinamakan (القول الأشبه في حديث من عرف نفسه فقد عرف ربه).
 Kata al-Najm [al-‘Allamah Najmuddin al-Ghazzi dalam kitab: إتقان ما يحسن من الأخبار الدائرة على الألسن]: Terdapat dalam kitab Adab al-Din wa al-Dunya oleh al-Mawardi (w. 450H); Dari ‘A’isyah bahawa Nabi SAW pernah ditanya: Siapakah orang yang paling kenal dengan Tuhannya? Jawab baginda: Orang yang paling kenal dengan dirinya”.

Bagaimanapun, hadis ‘A’isyah RA yang disebut oleh Imam al-Mawardi itu juga belum ditemukan sumber asalnya.

Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani (w. 1224H) telah memberikan ulasan yang cukup baik di dalam kitabnya (الفتوحات الإلهية في شرح المباحث الأصلية): “Peringatan: Telah masyhur di lidah ramai ahli sufi bahawa (من عرف نفسه عرف ربه) adalah hadis. Sedangkan ia bukan begitu. Akan tetapi ia adalah daripada kata-kata Yahya bin Mu‘az al-Razi, berdasarkan apa yang dinaskan oleh al-Hafiz Badr al-Din al-Zarkasyi dan al-Hafiz al-Suyuti dalam (الدرر المنتثرة في الأحاديث المشتهرة), katanya: Hadis (من عرف نفسه عرف ربه), menurut al-Nawawi: Tidak sabit. Dan kata al-Sam‘ani: Ia adalah daripada kata-kata Yahya bin Mu‘az al-Razi. Dan setiap seni ilmu itu wajar dirujukkan kepada pakar-pakarnya. Manakala ahli sufi pula, semoga Allah meredhai mereka, kerana sifat sangka baik mereka, sering bersifat longgar terhadap hadis-hadis. Demikianlah sepertimana yang disebut oleh
 Syeikh Sayyidi Muslim di dalam kitab beliau”.
 * bersambung ke bag II

Tidak ada komentar:

Posting Komentar